Saturday 26 November 2011

Refleksi Pembelajaran Makropengajaran Sains Tahun 1


Pengenalan
Selepas mengajar murid Tahun 1 dengan tajuk “Benda Hidup dan Benda Bukan Hidup” dalam rakaman makropengajaran selama 30 minit, saya juga mengenal pasti bahawa kekuatan dan kelemahan yang boleh diperbaiki dalam pengajaran saya.

Kekuatan dalam Pembelajaran Makropengajaran
Pertama, kekuatan dalam pengajaran saya ialah teknik penyampaian dalam pengajaran. Semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran, saya menunjukkan kad-kad perkataan dari satu ke satu untuk menerangkan ciri-ciri benda hidup sambil memberikan contoh-contoh yang bersesuaian dengan tahap pemikiran murid dan keadaan persekitaran serta berkaitan dengan benda hidup yang terdapat di sekeliling kita agar mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan tersebut seterusnya menjadi suatu pengetahuan asas dalam kehidupan mereka. Gambar-gambar yang mengenai ciri-ciri benda hidup juga dipaparkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini telah memberi kesan kepada tumpuan dan fokus murid pada pembelajaran. Murid-murid akan lebih tertumpu kepada penyampaian isi pelajaran tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. Ini telah menyebabkan murid-murid lebih memahami secara mendalam tentang ciri-ciri benda hidup yang telah saya sampaikan dan dapat membanding bezakan ciri-ciri benda hidup yang tidak sama. Ini juga mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan berkesan.
Kedua, kekuatan dalam pengajaran saya ialah aktiviti secara individu. Melalui aktiviti ini, murid-murid perlu memadankan kad gambar dan kad perkataan yang telah disediakan berdasarkan ciri-ciri benda hidup dan seterusnya menulis ciri-ciri benda hidup masing-masing. Tanpa ketakutan, murid-murid begitu aktif untuk cuba menjawab soalan tanpa bantuan daripada kawan atau saya. Keadaan ini telah menggalakkan murid-murid menggunakan kemahiran kreatif dan kritis untuk menjawab soalan-soalan. Secara langsung, ini telah meningkatkan keyakinan murid diri sendiri untuk menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan dan dapat mencirikan benda hidup masing-masing. Dengan itu, saya juga dapat menilai tahap penguasaan murid terhadap tajuk tersebut. Selepas murid menjawab soalan-soalan, saya juga memberi peneguhan positif kepada mereka bagi meningkatkan yakin murid diri sendiri dan menambahkan murid-murid meminati belajar mata pelajaran ini. Dengan ini, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih produktif dan berkesan.


Kelemahan dalam Pembelajaran Makropengajaran
Kelemahan dalam pengajaran saya ialah penggunaan bahan bantu mengajar. Bahan bantu mengajar harus dipertingkatkan lagi kerana ianya banyak membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam pembelajaran makropengajaran ini, saya kurang menggunakan alat bantu mengajar teknologi maklumat. Penggunaan bahan bantu mengajar yang lebih canggih mampu menarik minat murid kerana seiring dengan perkembangan dunia sekarang yang mana kad-kad perkataan, kad-kad gambar, kapur dan papan putih sudah semakin ketinggalan zaman.

Analisis Masalah
Daripada tinjauan awal yang telah saya lakukan ialah melalui temu bual dan soal selidik serta pemerhatian. Beberapa dapatan telah dapat saya senaraikan iaitu murid-murid berasa bosan dan kurang berminat terhadap kaedah pengajaran saya “chalk & talk”. Ini telah mengakibatkan murid-murid kurang memberi perhatian dengan sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

Cadangan
Untuk menyelesaikan masalah tersebut, cadangan yang telah dikemukakan ialah menggunakan alat bantu mengajar teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada zaman globalisasi ini, teknologi maklumat merupakan satu sistem yang meliputi alat dan bahan media organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran. Penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan telah terbukti berkesan dalam memberi sumbangan yang positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi maklumat terutamanya Microsoft Office Power Point dapat menumpukan kepada cara dan strategi persembahan maklumat yang digunakan bagi memindahkan ianya kepada ilmu pengetahuan yang bermakna serta bermanfaat.

Tindakan Susulan
Sekiranya saya mengajar teori dengan menggunakan Microsoft Office Power Point, saya boleh menaipkan perkataan dengan menggunakan warna yang berlainan untuk membezakan suka kata. Ini memudahkan murid yang lemah meningkatkan minat mereka untuk mempelajari. Saya juga boleh menambah gambar atau objek ke dalam slaid yang disediakan pada bila-bila masa sahaja dan tidak perlu susah hati untuk menyediakan kad-kad gambar dan membazirkan masa, kos dan tenaga. Gambar-gambar dalam Microsoft Office Power Point yang diperoleh dari internet sungguh cantik dan dapat bergerak. Manakala penggunaan Microsoft Office Power Point, animasi, muzik dan warna akan dapat membangkitkan motivasi dan menarik perhatian murid-murid dalam pembelajaran. Selain itu, penggunaan Microsoft Office Power Point dalam proses penyampaian maklumat juga melahirkan persembahan yang lebih menarik serta mampu merangsangkan minda murid selain dari faktor ianya tidak membosankan. Soalan-soalan latihan juga turut dimuatkan selepas setiap bahagian agar murid dapat menilai tahap kefahamannya di samping mengukuhkan pembelajaran. Keadaan ini akan memberi peluang kepada murid belajar secara lebih berkesan dengan bimbingan yang minima. Mengikut kajian saintifik membuktikan bahawa proses ingatan yang berlaku dalam otak manusia semakin mudah dilaksanakan apabila manusia menerima pelbagai pengukuhan dalam pelbagai bentuk dalam masa yang singkat. Oleh demikian, penggunaan gambar atau imej adalah lebih baik dari teks kerana ia mempunyai nilai seni dan berdasarkan pengalaman semulajadi manusia. Menambahkan bunyi-bunyian dan animasi juga membantu deria penglihatan dan deria pendengaran untuk lebih aktif dalam proses pembelajaran.
Di samping itu, penggunaan Microsoft Office Power Point dapat membantu saya menyenangkan kerja penyediaan untuk mencari maklumat yang lebih dalam internet dan ‘copy & paste’ sahaja. Saya juga dapat menjimatkan masa untuk pergi ke pusat sumber mencari maklumat yang berkaitan. Sekiranya terdapat isi kandungan dalam Microsoft Office Power Point adalah tidak betul, saya pula mudah untuk membuat pembetulan atau menambah maklumat yang terkini pada bila-bila masa.
Sebagai seorang guru, saya perlu sentiasa mengikuti arus perkembangan teknologi dan melengkapkan diri ilmu teknologi supaya tidak ketinggalan. Saya perlu bijak menggunakan teknologi untuk merancang dan melaksanakan sistem pengajaran dalam era ledakan maklumat dan timbunan ilmu untuk menarik perhatian murid bagi meningkatkan lagi prestasi penguasaan bahasa mereka. Saya juga akan terus berusaha dalam penggunaan teknologi maklumat bagi melahirkan murid yang  kreatif dan inovatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani sepertimana yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  kita dapat merealisasikan Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment