Friday 25 November 2011

REFLEKSI MAKROPENGAJARAN BM TAHUN 1

REFLEKSI MAKROPENGAJARAN BM TAHUN 1
PENGENALAN
Selepas mengajar murid Tahun 1 Bestari dengan tema “Kekeluarga”, saya telah mengenal pasti bahawa dua perkara yang baik dan dua perkata yang boleh dibaiki dalam pengajaran saya. 
PERKARA YANG BAIK
Pertama, perkara yang baik dalam pengajaran saya ialah saya mendapati bahawa teknik nyanyian yang digunakan dalam pengajaran adalah suatu teknik yang berkesan. Murid-murid dapat menyebut seni kata lagu dengan sebutan yang betul dan jelas melalui nyanyian. Ini bukan sahaja merupakan suatu didik hibur, bahkan juga murid-murid suka akan teknik ini sambil belajar. Melalui teknik nyanyian, murid-murid dapat memahami isi kandungan daripada lagu “Datuk Saya Ada Kebun”. Mereka melibatkan diri dalam aktiviti menyanyi secara aktif. Dengan demikian, teknik ini telah memberi peluang kepada murid-murid untuk menikmati, mencetus dan memperkembang minat dan bakat dalam teknik nyanyian sama juga memahami isi kandungan lagu tersebut pada masa yang sama. Selain itu, teknik nyanyian dalam pengajaran merupakan sesuatu penyampaian dengan cara menggabungjalinkan aktiviti nyanyian dan pergerakan. Semasa menjalankan pengajaran saya dengan teknik nyanyian, murid-murid dapat mengamalkan nilai kerjasama dalam kumpulan, sikap positif dan ingin mencuba. Keadaan ini telah menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan dapat dicapai.
Kedua, perkara yang baik dalam pengajaran saya ialah keberkesanan bahan bantu mengajar yang saya guna telah mempengaruhi minat murid-murid saya untuk meneruskan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Saya bersikap aktif dan proaktif untuk menyediakan bahan-bahan bantu mengajar yang sesuai dan efektif. Semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran, saya telah menggunakan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik iaitu media cetak dan media elektronik. Dengan menggunakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian, saya mampu mencungkil idea awal murid serta merangsang daya inkuiri murid. Dengan ini, murid-murid telah menimbulkan rangsangan dan keinginan untuk mengetahui lebih mendalam dan mengalami proses pembelajaran yang lebih interaktif. Ini menjadikan pengajaran saya menjadi lebih menarik dan berkesan. Selain itu, bahan bantu mengajar yang sesuai telah membantu saya memberi rangsangan dan motivasi kepada murid-murid untuk terus mengambil bahagian dan berinteraksi di samping memberi keseronokkan. Dengan demikian, bahan bantu mengajar yang saya pilih dan guna telah membantu saya melancarkan pengajaran dan meningkatkan kejayaan pengajaran saya. Keadaan ini juga meningkatkan keyakinan diri sendiri dalam pengajaran dan pembelajaran.

PERKARA YANG BOLEH BAIKI
Selain daripada perkara yang baik dalam pengajaran, terdapat juga dua perkara yang boleh dibaiki dalam pengajaran saya.
Masalah pertama yang dihadapi
Semasa saya membuat penerangan tentang topik yang berkenaan, saya mendapati beberapa orang murid-murid yang duduk di bahagian belakang kelas telah membuat bising. Keadaan ini mengakibatkan saya terpaksa berhenti mengajar kerana kebisingan murid-murid ini di dalam kelas telah mengganggu pengajaran sehingga mereka tidak dapat memberi perhatian kepada pengajaran saya. Saya ingin membawa perubahan dalam keadaan kelas ini. Saya ingin murid-murid mendengar pengajaran saya kerana percakapan dua hala boleh menjejaskan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, kebisingan yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran perlu dielakkan. Ini kerana murid-murid yang membuat bising bukan sahaja tidak dapat menguasai kemahiran yang diajar bahkan juga murid-murid lain juga terpengaruh dan berlakunya tidak adil kepada mereka. 
Analisis Masalah
Oleh demikian, saya terpaksa menyiasat punca-punca masalah kebisingan daripada sebilangan kecil murid-murid yang duduk di belakang kelas sama ada membuat bising, bermain atau bercakap. Beberapa soalan muncul dalam minda saya iaitu adakah kebisingan murid-murid ini satu tanda kebosanan terhadap penerangan saya? Adakah kebisingan kelas sesuatu yang buruk? Adakah kebisingan menandakan murid-murid sudah hilang minat belajar?
Daripada tinjauan awal yang telah saya lakukan ialah melalui temu bual dan soal selidik serta pemerhatian. Beberapa dapatan telah dapat saya senaraikan iaitu murid-murid berkenaan adalah dari kumpulan lemah. Mereka tidak memahami apa yang disampaikan dalam pengajaran saya dan mengakibatkan mereka kurang berminat dalam pembelajaran mereka.


Cadangan
Untuk mengelakkan murid-murid tersebut membuat bising lagi, saya ingin mencadangkan langkah-langkah termasuk menggunakan pelbagai kaedah dan teknik yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Mereka diberikan latihan-latihan yang lebih mudah berbeza dengan murid-murid lain. Selain itu, saya boleh cuba menyusunkan semula kedudukan murid-murid di dalam kelas dengan membahagikan mereka kepada empat kumpulan mengikut tahap kebolehan yang berbeza. Dengan demikian, saya dapat memberi perhatian yang lebih kepada kumpulan ini dengan selalu berdamping dan memberi bimbingan secara berterusan. Saya juga akan memberi motivasi dengan memberi pujian dan penghargaan bagi setiap usaha atau aktiviti yang berjaya dilakukan oleh mereka.
Tindakan Susulan
Persoalannya, bagaimanakah saya dapat menggunakan pengajaran saya untuk menambah baik pembelajaran murid di dalam kelas? Pada pendapat saya, saya ingin menjadi seorang guru asertif kerana guru asertif dapat mewujudkan iklim kelas yang positif, penyayang dan produktif. Iklim ini akan dapat menghasilkan pembelajaran yang maksimum.
Dengan cara menyusun semula kedudukan murid-murid, saya mendapati semangat berkumpulan telah diamalkan dengan adanya kerjasama dan tolong menolong sesame ahli kumpulan. Kumpulan murid yang suka membuat bising telah menunjukkan minat untuk menyiapkan tugasan yang diberi kerana mereka bukan sahaja mendapat tugasan yang selaras dengan kebolehan mereka bahkan juga berada dalam suasana penyayang dan positif. Tumpuan dan bimbingan guru yang prihatin dan berterusan dapat membantu murid-murid menjadi lebih yakin untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan. Keadaan kelas yang dapat dikawal ini sama juga dapat meningkatkan minat murid untuk belajar.

Masalah kedua yang dihadapi
Oleh kerana murid-murid membuat bising semasa saya memberi penerangan mengenai topik yang berkenaan, saya terpaksa berhenti mengajar kerana perbuatan mereka telah mengganggu saya mengajar. Keadaan ini telah mengakibatkan saya terpaksa memperuntukkan banyak masa untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini mengakibatkan saya tidak dapat menghabiskan soalan-soalan yang ingin sampaikan kepada murid.
Analisis Masalah
Oleh demikian, saya berhujah dengan diri sendiri mencari segala kelemahan yang ada pada diri yang mengakibatkan perkara tersebut berlaku, mencungkil kelemahan pada diri murid, membongkar segala kelemahan pada teknik pengajaran dan berusaha mendapatkan jalan penyelesaian melalui perbincangan dengan rakan sejawatan dan buku-buku rujukan.
Cadangan
Untuk memahami dan menyelesaikan masalah–masalah ini, saya telah mengadakan perbincangan serta kolaborasi dengan rakan sejawatan. Selain daripada itu, saya juga cuba membuat pemerhatian dan kajian dengan sendiri, iaitu mengkaji maklumat–maklumat murid melalui borang soal selidik dan rekod anekdot yang telah disediakan untuk menyelesaikan masalah murid di dalam kelas ini.
Tindakan Susulan
Saya memang seorang guru yang tegas semasa mengajar. Saya tidak suka ketawa semasa mengajar. Saya mesti pastikan pelajar memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa saya menyampaikan aktiviti pengajaran supaya dapat melahirkan insan yang berjaya pada masa depan.

No comments:

Post a Comment